MASJID NABAWI

Masjid ini telah dibina oleh Rasulullah (SAW) dan sahabat-sahabatnya pada tahun pertama Hijrah bersamaan 622 Masihi iaitu semasa baginda dan rombongannya sampai di sebuah tempat menjemur tamar kepunyaan 2 orang anak yatim dari Banu An-Najjar, tiba-tiba unta baginda berhenti dan pada ketika itulah Rasulullah turun dari untanya lalu bertanya, 'Kepunyaan siapa tempat ini', jawab Mu'adz bin Afra', 'Tempat ini adalah kepunyaan dua orang anak yatim iaitu Sahal dan Suhail bin Amr' bin Amarah.

Mu'adz adalah wali bagi kedua anak yatim tersebut. Ia menawarkan kepada Rasulullah (SAW) tanah kepunyaan anak yatim itu sebagai hadiah kepada Rasulullah untuk mendirikan masjid.

Rasulullah (SAW) enggan menerima tawaran itu kerana tanah itu kepunyaan anak-anak yatim, sebaliknya baginda mencadangkan supaya tanah itu dijual kepadanya dengan harga 10 dinar.

Cadangan Rasulullah (SAW) itu dibincangkan dengan kedua anak yatirn itu oleh walinya. Dan kedua-dua.mereka bersetuju dengan cadangan itu. Kemudian tempat itu dibeli oleh Rasulullah (SAW) dengan harga 10 dinar dan dibayar oleh Sayidina Abu Bakar As Siddiq dengan wangnya sendiri.

Pada peringkat permulaannya, masjid ini dibina secara sederhana sahaja. Luasnya kira-kira 30 meter x 35 meter (60 x 70) hasta, bentuknya hampir empat persegi, temboknya dibuat daripada batu-bata dan tanah, tiangnya daripada batang pokok kurma manakala atapnya sebahagian terdiri daripada daun-daun kurma dan sebahagian lagi tidak beratap. Masjid ini siap dibina pada bulan Safar tahun kedua Hijrah yang memakan masa selama kira-kira tujuh bulan.

Dalam masjid itu tidak ada lampu, pada waktu isyak (malam) masjid diterangi dengan cahaya api dari bakaran jerami rumput-rumput kering, kemudian pada tahun ke-9 Hijrah barulah digunakan lampu - lampu yang dipasang pada tiang-tiang batang kurma yang dijadikan alang-alang.

Home : TimeZone : Pembaharuan Nabawi : Kedudukan Madinah : Map of Madinah : Hijri Calendar