Jemaah perlu suntikan meningitis
- Mingguan Malaysia [Perspektif] 22/2/2001


"Vaksin mencegah meningitis boleh bertahan sehingga dua tahun dan sebaik-baiknya dapatkan suntikan itu di hospital kerajaan untuk memastikan ubat yang disuntik itu belum mencapai tarikh luput"

ESOK penerbangan akhir jemaah haji Malaysia berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan rukun Islam kelima. Jemaah haji yang belum berlepas tidak harus mengabaikan pemeriksaan kesihatan.

Ini kerana pemeriksaan kesihatan diwajibkan kepada setiap bakal haji sebelum ke Makkah dan Madinah sebagai memenuhi syarat wajib haji iaitu tubuh badan yang sihat dan memenuhi peraturan pihak kesihatan Arab Saudi.

Pakar Kesihatan Awam, Ketua Unit Penyakit Berjangkit Bahagian Epidemiologi dan Kawalan Penyakit Institut Kesihatan Umum Kementerian Kesihatan, Dr Ahmad Faudzi Yusoff berkata, jemaah yang pergi pada saat-saat akhir perlu melengkapkan pemeriksaan kesihatan, terutama suntikan mencegah meningitis.

Beliau berkata, ada jemaah yang memandang ringan suntikan mencegah meningitis walhal vaksin itu amat penting bagi melindungi mereka daripada penyakit terbabit.

Katanya, jemaah perlu mendapatkan suntikan itu di hospital kerajaan atau klinik swasta disarankan Lembaga Tabung Haji untuk memastikan mereka memperolehi vaksin tulen.

"Vaksin mencegah meningitis itu boleh bertahan sehingga tempoh dua tahun dan sebaik-baiknya dapatkan suntikan itu di hospital kerajaan untuk memastikan ubat yang disuntik itu belum mencapai tarikh luput," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Ahmad Faudzi berkata, ada sesetengah maktab jemaah haji Malaysia terletak berhampiran maktab jemaah negara lain seperti Afrika, Pakistan dan India dan keadaan ini mendedahkan jemaah Malaysia kepada meningitis.

Ini kerana, menurutnya, kadar insiden yang tinggi berlaku di negara sub Sahara Afrika Tengah, Brazil, India, Nepal, Ethiopia dan Sudan.

Justeru, katanya, suntikan mencegah meningitis amat penting bagi melindungi jemaah haji negara ini daripada dijangkiti penyakit itu.


DR AHMAD FAUZI

Dr Ahmad Faudzi yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Hospital Aziziah di Makkah berkata, meningitis adalah infeksi pada selaput otak dan ia berpunca daripada organisma virus ataupun bakteria.

Beliau berkata, antara organisma virus ialah enterovirus, coxsackie kumpulan B, virus polio, coxsackie kumpulan A, herpes simplex dan virus varicella.

Organisma bakteria pula ialah neisseria meningitis, enteric, listeria, streptococcus pneumoniae dan staphylococci.

"Organisma bakteria yang berjangkit pada jemaah adalah neisseria meningitis manakala penyakitnya pula dikenali sebagai meningitis meningococcal," katanya.

Dr Ahmad Faudzi berkata, penyakit itu beijangkit melalui rembesen saluran pernafasan seperti hidung dan tekak orang yang sudah dijangkiti bakteria penyakit itu.

Katanya, tempoh inkubasi penyakit itu adalah di antara dua hingga 10 hari tetapi lazimnya ialah tiga atau empat hari.

Simptom meningitis meningococcal

  • Demam tiba-tiba.
  • Sakit kepala.
  • Loya.
  • Muntah-muntah.
  • Kejang pada leher.
  • Ruam pada badan.
  • Tidak menentu atau metracau-racau.
  • Koma.

Rawtan
Jika seorang daripada jemaah disahkan menghidap meningitis, semua teman sebilik dan jemaah yang tinggal berhampiran termasuk pada aras bilik yang sama akan diberi antibiotik.

Rawatan awal paling penting untuk memastikan keadaan jemaah tidak melarat dan memudaratkan diri mereka. Rawatan lewat boleh menyebabkan jemaah mengalami koma dan seterusnya menemui ajal.

Bagaimanapun, masih ada jemaah yang tidak menjalani pemeriksaan apabila mendapati diri mereka demam dan apabila sudah tenlalu lewat, penyakit dihidapi sukar dirawat.

Justeru, Dr Ahmad Faudzi menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya tidak memencilkan diri di dalam bilik apabila mengalami simptom penyakit itu.

Bagaimanapun, kadar penyakit itu di kalangan jemaah haji Malaysia masih rendah dan selalunya tidak lebih daripada lima jemaah mengalaminya dengan membabitkan satu atau dua kematian.

Cara menjauhi penyakit:-

  • Dapatkan suntikan cegah meningitis sebelum berangkat ke Tanah Suci. Pastikan anda mendapat suntikan yang tulen dan belum tamat tarikh luput.
  • Tutup mulut apabila batuk atau bersin. Sebaik-baiknya tutup mulut dan hidung apabila orang beihampiran anda batuk atau bersin.
  • Jauhkan diri daripada tempat yang terlalu sesak.
  • Jangan meludah di merata-rata tempat.
  • Jangan berkongsi menghisap rokok dengan jemaah lain kerana ada antara jemaah yang mungkin menjadi pembawa senyap kepada penyakit itu yang lazimnya tidak menunjukkan sebarang simptom.


Rencana dipetik dari:-
Mingguan Malaysia
Bertarikh:- 25 Feb.2001
Ruangan Perspektif - Perubatan

Keratan Akhbar : Muka Utama